Friday, 3 February 2012

Tips Elakkan Gigitan Bayi ketika Menyusu

Assalam...harini nak share tips yg amat berguna utk semua ibu2 yang menyusukan anak...Info diri saya sendiri jugak coz anak saya dah mula menggigit...Sakit memang tak leh nak cakapla bila Cik Qaireen gigit nenen mama die nih...ngilu dibuatnya..huhu...Ok jom baca tips berguna ni supaya ibu2 sekalian aplikasikan cara menanganinya ye...




Seperti yang kita tahu,Bayi terutamanya yang baru mendapat gigi pertama cenderung untuk menggigit puting payudara sama ada secara sengaja mahupun tidak. Lebih-lebih lagi ketika dia mengalami masalah gatal gusi. Bayi pastinya akan menggigit dan menjadikan puting anda seumpama teether. Kesannya mengakibatkan puting kesakitan dan lama kelamaan menimbulkan masalah untuk anda meneruskan penyusuan ekslusif. Berikut ialah langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengelakkan gigitan bayi ketika menyusu :-
1. Alihkan Bayi
Antara langkah yang boleh anda lakukan bagi mengelakkan gigitan bayi ialah dengan mengalihkannya daripada payu dara secara perlahan-lahan. Sambil itu, anda digalakkan untuk menyatakan perasaan anda akibat perbuatannya. Berkatalah seperti, “Sayang, jangan gigit mama” atau “Mama sakit” biarpun ketika itu anda mungkin mempunyai sekelumit rasa marah kerana sakit, namun sebaik-baiknya luahkanlah perasaan anda secara berhemah dan lemah lembut.

Untuk seketika, biarkan bayi berbaring sendirian sebelum anda menyambung semula sesi penyusuan. Dengan cara ini, ia dapat mendidik bayi bahawa jika dia menggigit, dia tidak akan dapat menyusu.

2. Tekapkan Muka
Ketika bayi mula mengetap bibir untuk menggigit, dekatkan mukanya ke arah dalam payu dara. Ini secara tidak langsung akan menyebabkannya sesak nafas lalu mendorong dia untuk menghentikan gigitan supaya dapat bernafas semula.

Sekiranya anda kerap melakukan panduan ini, lama-kelamaan bayi akan mula faham bahawa jika dia menggigit, dia akan mengalami masalah kesukaran bernafas. Dengan yang demikian, diharap bayi akan mengelakkan diri daripada terus menggigit di sesi penyusuan seterusnya.

3. Ketahui Punca
Sepatutnya di awal sesi penyusuan, anda sendiri perlu mengelakkan diri daripada digigit! Hal ini dapat anda lakukan dengan mengenal pasti punca yang mungkin menjadi penyebab mengapa anda sering digigit.
Berkemungkinan, ia berlaku kesan daripada perasaan kecewa bayi kerana tidak berjaya memperoleh susu seperti yang diingininya. Jika itulah yang menjadi penyebab, anda harus merangsang aliran susu sebelum menyusukan bayi. Antaranya, anda boleh menekapkan payu dara menggunakan tuala kecil yang telah direndam dengan air suam terlebih dahulu selama beberapa minit bagi melancarkan pengaliran susu.

4. Amati Corak Penyusuan
Di akhir sesi penyusuan pun, anda dapat mengelakkan gigitan bayi. Ini dilakukan dengan mengetahui sama ada dia suka menggigit apabila mula mengantuk akibat kenyang mahupun ketika puting hampir terlepas daripada mulutnya. Untuk itu, anda harus peka dan bersedia untuk menghentikan penyusuan setiap kali bayi menunjukkan tanda-tanda akan menggigit.

5. Posisi Selesa
Anda seharusnya sentiasa memastikan bayi dan anda sendiri berada dalam posisi yang cukup selesa ketika sesi penyusuan berlangsung. Sekiranya bayi mahupun anda kelihatan tidak selesa dengan posisi penyusuan tertentu, segeralah membetulkan posisi berkenaan agar lebih selesa.

6. Leraikan Dengan Jari
Apabila anda dapat rasakan bayi akan menggigit, segera masukkan jari kelingking di bahagian tepi mulutnya bagi meleraikan dia daripada payu dara. Namun, jangan sesekali meleraikan sesi penyusuan secara tiba-tiba tanpa memasukkan jari anda terlebih dahulu. Hal sebegini boleh mencederakan puting dan tentunya ia lebih menyakitkan.